Sarapan Pagi Penting Untuk Kesihatan
Ingin ketahui rahsia untuk menjadi bijak, gembira dan langsing tubuh badan? Jangan sesekali tinggalkan sarapan pagi!
Namun ramai yang tidak menyedari perkara itu. Memulakan hari dengan sarapan pagi adalah penting bagi membantu seseorang untuk berfikir, merasa dan kelihatan lebih baik. Ia juga penentu suasana untuk hari itu yang seterusnya.
"Kajian baru-baru ini menunjukkan bahawa mereka yang kerap mengambil sarapan pagi mempunyai sikap yang lebih positif, langsing dan mempunyai prestasi mental yang lebih baik," kata pakar nutrisi Nestle Malaysia, Cher Siew Wei.
Ini kerana badan kita menggunakan gula atau glukos dalam darah untuk tenaga. Apabila kita bangun daripada tidur, paras gula dalam darah adalah rendah kerana kita 'berpuasa' semalaman. Jadi, dengan pengambilan sarapan pagi yang penuh khasiat dan seimbang, ia akan membantu menyumbangkan tenaga yang cukup untuk memulakan hari anda.
Berat badan dan mood
Siew Wei berkata, memulakan hari dengan sarapan yang seimbang khasiatnya mempunyai kesan positif ke atas kepekaan, tumpuan dan membantu pelajar dan pekerja meningkatkan sikap yang positif terhadap pelajaran atau tugas masing-masing.
"Tidak menghairankan, jika diberi sarapan yang kaya dalam karbohidrat yang kompleks seperti roti jagung, minuman bijirin penuh dan sarapan bijirin penuh, akan meningkatkan paras glukos otak," kata beliau.
Makan untuk turunkan berat badan mungkin satu konsep yang paradoks kepada sesetengah orang. Namun begitu, kajian telah membuktikan bahawa makan sarapan pagi membantu membendung selera anda untuk hari berkenaan di samping mempertingkatkan metabolisme . Ini sudah pasti membantu seseorang untuk mengurangkan berat badan.
Siew Wei berkata, peningkatan metabolisme bermula dengan pembakaran maksimum jumlah kalori untuk menjana aktiviti anda.
Adakah anda seorang penggemar karbohidrat yang sedang berusaha untuk mengurangkan berat badan? Sarapan pagi adalah masa terbaik untuk mengambil karbohidrat memandangkan anda mempunyai masa sepanjang hari untuk membakar dan menggunakannya sebagai tenaga untuk badan dan otak untuk bekerja. tetapi, pastikan untuk memilih bijian penuh yang tinggi serat.
Pengambilan karbohidrat waktu pagi adalah 'lesen' untuk anda tanpa menjejaskan usaha menguruskan badan.
Siew Wei berkata, mereka yang meninggalkan sarapan pagi juga dilihat cenderung memilih makanan yang mengandungi tinggi kalori pada waktu makan berikutnya. Untuk jangka panjang, ini boleh membawa kepada pembentukan penyakit kronik.
"Banyak kajian menunjukkan hubungan antara pengambilan sarapan pagi dan pengurusan berat badan. Satu kajian oleh Jurnal Penyelidikan Obesiti pada 2002 melaporkan bahawa 3,000 sukarelawan di Amerika Syarikat mendapati 78 peratus daripada mereka berjaya mengurangkan berat badan dan mengekalkan berat badan itu hasil pengambilan sarapan pagi setiap hari.
"Hasilnya mendapati bahawa pengambilan sarapan pagi setiap hari adalah satu bentuk lumrah untuk mengekalkan penurunan berat badan," kata beliau.
Rutin pagi
Satu lagi kajian oleh Universiti Texas, El Paso di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa mengambil sarapan pagi boleh meningkatkan pengeluaran leptin, sejenis hormon yang menyekat selera.
Bagaimanapun kajian Nutrisi Dewasa Malaysia (2003) menunjukkan bahawa satu daripada 10 orang dewasa Malaysia tidak mengambil sarapan pagi.
Satu kajian bersama oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Nestle mengenai Status Nutrisi dan Tabiat Diet Pelajar Sekolah Rendah di Malaysia (2007-2008) menunjukkan bahawa satu daripada tiga pelajar sekolah rendah pergi ke sekolah dengan perut kosong.
Alasannya? Daripada 11,371 pelajar sekolah rendah, 45 peratus berkata, mereka tidak mengambil sarapan pagi kerana tidak mempunyai masa, 22.2 peratus tidak lapar manakala 17.6 peratus tidak berselera.
"Tiada selera atau tiada masa untuk sarapan pagi adalah sama dengan 'saya tidak mempunyai masa untuk bersenam' sebagai alasan," kata Siew Wei.
"Jika anda mahu membiasakan semula diri untuk bersarapan pagi tetapi 'tiada selera' menjadi halangan, mulakan dengan sesuatu yang sedikit dan senang untuk disediakan dan tumpukan perhatian untuk menjadikannya sebagai sebahagian daripada rutin pagi," katanya.
Tiada istilah lambat untuk sarapan pagi! Sarapan pagi ditafsirkan sebagai hidangan pertama pada hari anda yang perlu diambil dalam tempoh satu jam selepas bangun daripada tidur.
"Jadi, walaupun anda bangun hampir waktu makan tengah hari, makanlah sesuatu. Ia masih dianggap sarapan pagi," kata Siew Wei.
Sesetengah kita mungkin memilih untuk menunggu waktu makan tengah hari dan mengambil kedua-duanya sekali. Siew Wei menasihatkan agar ini tidak dilakukan.
"Sarapan pagi adalah permulaan pengambilan makanan selepas 'berpuasa' waktu tidur, jadi sekiranya anda bangun lewat, jangan tunggu untuk hidangan makanan selepasnya. Makan dulu sesuatu.
"Anda tidak boleh menggantikan sarapan pagi dengan memakan lebih pada waktu makan tengah hari. Ia tidak berkesan cara itu. Malah, ia boleh membahayakan tubuh dan kesihatan," katanya. - Bernama
0 comments:
Post a Comment